Sunday, 13 October 2013

Tafsir Mawdu'i: Surah Muhammad


Disediakan oleh:
Muhammad Umar Mukhtar bin Shafie



 Abstrak
Sejak peristiwa 11 September PWTC yang  telah diruntuhkan oleh pengganas yang sehingga kini menjadi tanda tanya siapa yang harus dipersalahkan, secara tidak langsung ramai yang sudah mengenali agama Islam dan minat untuk mengkaji Islam  samada tujuannya mencari kebenaran atau sebaliknya. Disebabkan oleh itu, ramai pengkaji terdiri dari muslim  dan non-muslim terkadang menyalahtafsirkan sumber-sumber utama Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.  Tafsir Maudhuci memainkan peranan penting untuk mengembalikan kesucian al-Quran dari tafsiran yang tidak benar. Oleh kerana surah Muhammad antara surah yang begitu menekankan perihal perang selain surah al-Taubah, maka ramai di antara pengkaji yang meletakkan ia pada bukan tempatnya menjadikannya bukti dan mengganggap bahawa agama Islam mengajar keganasan. Maka penulisan ini bertujuan menjelaskan kedudukan surah Muhammad yang begitu penting di permulaan hijrah zaman nabi Muhammad SAW, arahan keras perang ke atas orang kafir yang mengecam teruk dan mengusir umat Islam. Keterangan-keterangan dan fakta-fakta dalam penulisan ini memaparkan sumber-sumber yang diperolehi melalui penyelidikan perpusatakaan.  Secara keseluruhannya, surah Muhammad perlu difahami dalam konteks maudhuci oleh umat Islam kerana disebabkan kepentingan isi-isi didalamnya .

1.PENGENALAN


Al-Quran adalah mukjizat nabi Muhammad SAW yang terulung. Ia adalah wahyu yang diturunkan selama 23 tahun sepanjang perlantikan nabi Muhammad SAW sebagai utusan akhir zaman. Allah menjanjikan bahawa al-Quran akan kekal sehingga hari kiamat. Bahkan, al-Quran sendiri bukan hanya sekadar  mencabar pada sesiapa yang mampu mencipta kitab suci sama seperti al-Quran, malah seperti surah di dalam al-Quran dan juga sepotong ayat yang sama seperti al-Quran.
      Surah Muhammad merekodkan beberapa kejadian terpenting umat Islam serta didikan kepada mereka ketika itu. Sepertimana kita ketahui surah ini diturunkan pada tahun 4 Hijrah, sebelum bermulanya episod-episod perang besar seperti perang al-Badr dan Uhud.   


2. KEDUDUKAN SURAH MUHAMMAD DI DALAM AL-QURAN

Surah Muhammad adalah surah yang ke 74 mengikut turutan al-mushaf al-tauqifi, manakala mengikut turutan surah-surah madaniyyah, surah Muhammad adalah surah yang ke 9 dan diturunkan sebelum surah al-Hadid dan selepas surah al-Racd.

Mengikut turutan Mushaf pula, surah Muhammad adalah surah yang ke 47, surah sebelumnya adalah surah al-Ahqaf dan selepasnya surah al-Fath.

3. NAMA-NAMA SURAH MUHAMMAD

3.1 Surah Muhammad
Muhammad adalah nama yang paling masyhur dan yang tertulis di mushaf al-Quran. Dinamakan surah ini dengan nama Muhammad kerana ia disebut didalam ayat yang ke 2. Allah SWT berfirman :

Maksudnya : Dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w) - yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, - Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menjayakan keadaan mereka (di dunia dan di akhirat). (Surah Muhammad 47:2)



Di antara sebab dinamakan surah ini dengan surah Muhammad ialah peringatan kepada pengikut nabi Muhammad SAW bahawa untuk sesuatu amalan itu diterima ialah dengan mengikut nabi Muhammad.

3.2 Surah al-Qital 
Di antara nama Surah tauqifi ialah  al-Qital yang bermaksud perang. Dinamakan surah ini dengan nama al-Qital kerana ia di sebut dalam ayat yang ke 20. Allah SWT berfirman :    

Maksudnya: Dan (kerana gemarkan pahala berjuang menegakkan Islam) orang-orang Yang beriman berkata: "Alangkah baiknya sekiranya diturunkan satu surah (dari Al-Quran, Yang memerintahkan Kami berjuang)?" maka apabila diturunkan satu surah (dari Al-Quran) Yang tegas keterangannya dan tersebut padanya hukum-hukum Yang mewajibkan perang jihad (menentang pencerobohan musuh), sudah tentu Engkau akan melihat orang-orang Yang ada penyakit (kufur) Dalam hatinya memandang kepadamu Dengan terbeliak matanya kerana gerun takut menghadapi mati; Dengan Yang demikian, maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka. (Surah Muhammad 47:20)

Beberapa kitab tafsir yang masyhur menggunakan nama al-Qital di dalam tafsir mereka seperti Tafsir al-Qurtubi oleh Imam al-Qurtubi dan Tafsir al-Qur’an al-cazim oleh Imam Ibn al-Katsir.  
 
3.3  Surah al-lazina kafaru

Al-lazina kafaru yang bermaksud “ orang-orang yang kafir “. Nama surah ini di sebut di sesetengah kitab tafsir seperti Tafsir Nuzhum al-Durar oleh Imam Burhanuddin al-Biqaci. Di namakan surah ini dengan Al-lazina kafaru kerana di sebut di permulaan surah ini:

Yang bermaksud: Orang-orang yang kafir serta menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, Allah sia-siakan segala amal mereka. ( Surah Muhammad 47:1)

Yang di maksudkan dengan orang kafir ialah penduduk Mekah ketika itu. (Lubab al-Nuqul Fi Asbab al-Nuzul Li al-Suyuti : hlm234)  

4. Masa dan Tempat Penurunan Surah Muhammad

Surah Muhammad adalah surah Madaniyyah. Sesetengah ulama’ berpendapat bahawa ayat 13 adalah Makkiyyah:  

Yang bermaksud: Dan bukan sedikit (penduduk) negeri-negeri yang lebih kuat dari (penduduk) negerimu (wahai Muhammad) yang telah memaksamu keluar (berhijrah) - Kami binasakan mereka, maka tiadalah sesiapa pun yang dapat membela mereka. (Surah Muhammad 47:13)

Qatadah dan Ibn cabbas berkata : Ketika Nabi SAW keluar dari Mekah menuju ke gua kemudian baginda menoleh ke Mekah dan berkata :



" اللهم أنت أحب البلاد إلى الله وأحب البلاد إلي, ولو لا المشركون أهلك أخرجوني لما  خرجت منك " ذكره الثلبي : وهوحديث صحيح



Maksudnya : Ya Allah, engkau (Mekah) adalah tempat paling disayangi oleh Allah dan tempat paling aku sayangi, kalau tidak kerana orang musyrikin menghalauku, aku tidak akan keluar dari kamu.
Telah disebut oleh al-Tsaclabi : Ini adalah hadis sahih. (Tafsir al-Qurtubi hlm 235)
 

6. JAU (MOOD) SURAH MUHAMMAD

Al-Syekh Muhammad al-Ghazali di dalam bukunya Nahw Tafsir Maudhuci li-suar al-Quran al-Karim menyatakan :

             Untuk kamu mengetahui jau tentang surah Muhammad hendaklah kamu bertanya terhadap diri kamu dahulu : Apakah yang terpendam di dalam hati rakyat Bosnia terhadap rejim Serbia selepas mereka menyembelih para lelaki dan merogol para wanita Bosnia? Mereka tidak merasakan apa kecuali dendam dan sangat marah. Begitu juga penduduk Palestin yang dihalau keluar oleh rejim Zionis dari rumah mereka dan melelong darah dan maruah mereka. Tidaklah mereka merasakan apa-apa kecuali marah dan dendam.” (Muhammad al-Ghazali hlm : 395)

            Surah Muhammad diturunkan di dalam mood jihad perang, iaitu mood persediaan dan tarbiyah orang Islam. Sepertimana kita ketahui surah Muhammad diturunkan pada permulaan tahun ke empat Hijri iaitu tahun sebelum bermulanya peperangan seperti perang Badr dan juga Uhud. Kita dapati di dalam surah ini beberapa penetapan hukum fekah yang berkaitan dengan perang seperti memukul leher orang kafir, menawan tawanan perang serta mengenakan fidyah ke atasnya atau membebaskannya dan lain-lain.           Sebahagian besar umat Islam ketika itu terlalu mendesak dan bersemangat untuk berjuang ke medan perang.Ayat-ayat di dalam surah Muhammad memberi semangat kepada mereka dan meningkatkan tahap interaksi mereka dengan perang. Surah ini juga mendedahkan kepada mereka hakikat ikhlas dalam jihad berperang, menuntut kematian di dalam peperangan, balasan pahala dan juga hakikat syurga.


7.      TUJUAN-TUJUAN ASAS SURAH MUHAMMAD

Di antara tujuan penting surah ini ialah :


i.                     Mengajak umat Islam untuk menjaga agama Islam dan kaum muslimin dengan cara berperang menentang kaum kafir dan menghapuskan tipu daya mereka.

ii.                   Penetapan hukum jihad perang di dalam Islam dan menerangkan kepentingan perang ketika itu.

iii.                 Pensyariatan beberapa hukum hasil yang diperoleh dari peperangan, seperti tawanan perang, member pemilihan di antara membebaskan atau mengenakan fidyah kepada tawanan perang.

iv.                 Membuat perbandingan di antara kedua kumpulan askar didalam sebuah pertempuran ; kumpulan askar mukmin dan kumpulan askar kafir. Menerangkan kepentingan sifat kedua dari mereka, perbezaan tujuan perang dan kehidupan mereka di akhirat kelak.

v.                   Merawat penyakit kelemahan iman di kalangan orang mukmin serta mempertingkatkan iman, akhlak dan kesungguhan  mereka.

vi.                 Menceritakan jenayah orang munafiq dalam menggoyahkan barisan umat Islam dan memberi amaran agar menghindari mereka dan menghampuskan tipu daya mereka.

vii.       Menetapkan beberapa sunah alam (law of nature) di dalam peperangan seperti syarat kemenangan, sebab kekalahan dan hikmah berperang.

viii. Menarik perhatian para pejuang mukmin dengan syurga Allah SWT disamping menggalakkan mereka dalam peperangan dan menuntut kematian di dalam perang, menyatakan kedudukan pada syuhada’ di sisi Allah SWT serta beberapa gambaran nikmat di dalam syurga.

ix. Memberi amaran dari bersifat pengecut, kedekut dan menyerah kalah serta sifat berlengah-lengah dalam berjuang. 


8. KARAKTER SURAH MUHAMMAD

            Setelah kita berbicara tentang masa dan tempat penurunan surah ini, mood persekitaran  surah Muhammad ketika diturunkan, keadaan umat Islam, objektif surah dan tujuan-tujuan surah, boleh dirumuskan bahawa karakter surah Muhammad berkait rapat dengan  perang.
            Surah Muhammad membincangkan tentang tajuk perang, dan tujuannya untuk tarbiah perang, menyuruh orang Islam bersiap sedia berhadapan dengan orang kafir, meningkatkan tahap keimanan mereka terhadap jihad dan mengajak mereka untuk mencontohi peribadi Muhammad SAW selaku ketua para pejuang di dalam memerangi dan berhadapan dengan orang kafir.
            Di dalam kitab Tafsir Fi Zilal al-Quran oleh Sayyid Qutb beliau berkata ‘’Surah ini diturunkan di Madinah. Ia mempunyai satu nama lagi iaitu surah al-Qital (Surah Peperangan). Inilah nama haqiqi baginya kerana peperanganlah yang menjadi pokok perbicaraan surah ini dan unsurnya yang paling jelas. Gambaran-gambaran surah ini, bayangan-bayangannya dan nada-nadanya adalah peperangan belaka. (Sayyid Qutb : hlm 553 terjemahan Yusoff Zaki Haji Yacob)

9. HUBUNGKAIT SURAH SEBELUM SURAH MUHAMMAD DAN SELEPASNYA

            Sebelum penurunan surah Muhammad ada sebanyak tujuh surah yang dinamakan dengan al-Hawamim, kerana surah-surat tersebut dimulakan dengan dua huruf iaitu huruf Ha’ dan huruf Mim : حم.
            Surah al-Hawamim kesemuanya adalah makkiyyah dan tersusun di dalam mushaf sepertimana tersusunnya saat diturunkan.
Surah-surah itu adalah : Ghafir, Fussilat, al-Shura, al-Zukruf, al-Dukhan, al-Jatsiah dan al-Ahqaf.
            Terdapat hubungan diantara objektif yang terkandung dalam surah al-Hawamim dan objektif surah Muhammad dalam tempoh tertentu diantara kedua-duanya.

            Hubungkait yang paling jelas diantara kedua-duanya adalah : fokus utama surah al-Hawamim pada satu objektif iaitu penerangan dari sudut teori untuk menegakkan kebenaran, hujah, menghapuskan kebatilan, menetapkankan tauhid dan dalil-dalilnya serta menetapkan kenabian nabi Muhammad SAW dan risalah. al-Hawamim menceritakan tentang penentangan terhadap orang kafir adalah penetangan bersifat nazriyyah (teori) untuk berhujah kepada mereka.

9.1 HUBUNGAN DI ANTARA SURAH MUHAMMAD DAN SURAH AL-AHQAF

i. Surah al-Ahqaf mengandungi dalil-dalil tauhid ketuhanan, kerasulan nabi SAW dan wahyu dan menolak sebarang kesyirikan dan yang seumpama dengannya.
Manakala surah Muhammad pula datang selepas surah al-Ahqaf menyuruh orang yang menerima apa yang terkandung di dalam surah al-Ahqaf agar memerangi orang yang menentang apa yang terkandung di dalam surah al-Ahqaf.

           ii. Di akhir surah al-Ahqaf menceritakan tentang azab api neraka bagi orang kafir di hari  akhirat, Allah SWT berfirman :  



Maksudnya : Dan (ingatlah) hari orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka, (lalu dikatakan kepada mereka): "Bukankah (azab) neraka ini benar?" mereka menjawab: "Ya, benar, Demi Tuhan kami!" (setelah itu) dikatakan lagi (kepada mereka): "Maka sekarang rasalah azab seksa Dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu. (Al-Ahqaf 46:34)


Di dalam surah Muhammad pula menceritakan tentang azab orang kafir di dunia atas arahan Allah SWT ke atas orang mukmin untuk memerangi mereka.

iii. Di akhir surah al-Ahqaf Allah SWT menyuruh rasulNya SAW agar bersabar seperti sabarnya rasul-rasul ulu al-czm. Allah SWT berfirman :  


Maksudnya : (Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah Engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah Engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). (al-Ahqaf 46:35)

Di dalam surah Muhammad pula, menerangkan kesabaran secara prektikal (camaliyah) iaitu kesabaran atas ujian di medan perang, berhadapan dengan musuh Islam dan memberitahu bahawa sabar itu kekuatan para pejuang.

iv. Hubungkait yang paling jelas yang terdapat di akhir ayat surah al-Ahqaf dengan awal ayat surah Muhammad ialah seolah-olah ayat kedua bersambung dengan ayat yang pertama yang menerangkan lebih terperinci :

Akhir surah al-Ahqaf, Allah SWT berfirman :  

Maksudnya : ..maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik. (al-Ahqaf 46:35)

Awal surah Muhammad, Allah SWT berfirman : 

Maksudnya : Orang-orang yang kafir serta menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah… (Muhammad 46:1)

Dan jika kedua-duanya di himpun bacaannya seperti ini :

فهل يهلك إلا القوم الفاسقون الذين كفروا وصدوا عن سبيل الله
Maksudnya : Tidak dibinasakan melainkan kaum  fasik yang kafir serta yang menghalang dari jalan Allah.


9.2  HUBUNGAN DI ANTARA SURAH MUHAMMAD DAN SURAH AL-FATH

i. Di dalam surah Muhammad menjelaskan Rasulullah SAW memerangi orang kafir manakala di dalam surah al-Fath pula menceritakan tentang kemenangan baginda SAW dalam peperangan

ii. Surah Muhammad bercakap tentang perang, keperitan jihad dan kesungguhan dalam memerangi orang kafir manakala surah al-Fath pula menjelaskan khabar gembira tentang pembukaan kota Mekah,kegembiraan orang mukmin dan kemenangan mereka keatas orang kafir.

iii. Di akhir surah Muhammad Allah SWT memberi amaran keras kepada kaum muslimin agar tidak berpaling dari keimanan setelah mengecapinya, kembali menentang Islam serta tidak melengah-lengahkan jihad perang dengan menukar dengan kaum lain selain mereka. Allah SWT berfirman :



Maksudnya : …dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan menderma) ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. (Muhammad 47:38)

Manakala di akhir surah al-Fath Allah SWT memuji kaum mukmin dan menjelaskan pertolongan Allah kepada mereka, ini bermakna mereka telah menunaikan perintah tuhan sebaiknya, mendirikan kewajipan dalam berperang dan mereka sedikit pun tidak berpaling tadah dan oleh itu Allah SWT tidak mengantikan dengan kaum lain. Allah SWT berfirman :  


Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar. (al-Fath 48:29)

10.   SIRI PELAJARAN DARI SURAH MUHAMMAD

Di dalam Surah Muhammad terdapat beberapa pelajaran yang boleh kita pelajari, diantaranya penawar bagi penyakit lemah iman, sifat bakhil, sifat munafiq dan sifat kafir.

10.1 PENAWAR BAGI PENYAKIT LEMAH IMAN

Terdapat di kalangan sesetangah umat Islam yang lemah iman mereka dan berat hati menyertai peperangan. Mereka melengah-lengahkan dari turut serta dalam berperang dan bakhil untuk memberi sumbangan dan juga berkhidmat di dalam perang.

Didalam surah ini, disebut beberapa penawar untuk merawat penyakit ini. Di antaranya :
                 
i.  Galakan umat Islam memerangi orang kafir dengan menyebut jelas iaitu memukul di batang leher mereka :  

Maksudnya : Maka apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pukullah batang leher mereka… ( Muhammad 47:4)


ii. Memberitahu kepada kaum muslimin bahawa perang adalah hikmah rabbaniyah dan didikan tuhan keatas kaum muslimin untuk menguji kesabaran mereka.    

Maksudnya : …dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia membinasakan mereka, tetapi Dia hendak menguji kamu satu sama lain. (Muhammad 47:4)


iii. Di dalam surah ini juga menyebut tentang para pejuang yang syahid di medan perang baginya nikmat dan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT:

Maksudnya : Allah akan member petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka. Dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkannya kepada mereka. (Muhammad 47:5 dan 6)
 
iv. Menggambarkan keadaan orang pengecut dan penakut, dan memaparkan beberapa gambaran buruk tentangnya agar kaum muslimin menghindari dari bersifat demikian

 Maksudnya : Maka apabila ada suatu surah diturunkan yang jelas maksudnya dan di dalamnya tersebut (perintah) perang, engkau melihat orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit akan memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan kerana takut mati…. (Muhammad 47:20)

v. Melarang orang mukmin dari bersifat lemah dan mengajak kepada perdamaian. 
 


Maksudnya : Maka janganlah kamu lemah dan mengajak damai, kerana kamulah yang lebih unggul, dan Allah (pun) bersama kamu, dan Dia tidak akan mengurangi segala amalmu. (Muhammad 47:35)  

Ayat ini adalah disiplin yang keras terhadap orang yang beriman apabila mereka berhadapan dengan musuh mereka. Umat Islam telah diberi peringatan bahawa perang telah pun mula iaitu perang dingin. Musuh Islam telah pun  mempergunakan manusia yang tidak teguh pendirian untuk menjadi alat mereka menghalangi usaha umat Islam. Dalam ayat ini juga menegaskan bahawa umat Islam dilarang keras merasa bahawa orang-orang seperti ini orang yang patut dihargai malah dihormati untuk dimuliakan. Umat Islam tidak patut merendah diri di hadapan orang yang seperti itu kerana sebagai orang muslim yang berpendirian teguh sesekali tidak takut  untuk menghadapi orang yang sedemikian. Meskipun musuh Islam yang memperoleh senjata canggih tetapi tidak perlu meminta untuk berdamai kerana umat Islam adalah lebih tinggi kerana mempunyai aqidah dan pendirian yang teguh. (HAMKA Tafsir al-Azhar 1980)  

10.2 PENAWAR BAGI ORANG YANG BERSIFAT BAKHIL

Di dalam surah ini juga disebut penawar bagi mereka yang bersifat bakhil dalam menyumbang sesuatu dalam jihad dan membantu para pejuang

Yang bermaksud: (ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa Yang berlaku bakhil maka Sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadanya Dalam Segala hal). dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. (Muhammad 47:38)

10.3 ORANG MUNAFIQ DAN PENAWAR BAGI PENYAKIT SIFAT MUNAFIQ

Orang munafiq antara punca utama yang melemahkan barisan kaum muslimin dari dalam (bukan dari luar seperti kaum kafir), dengan menjadi batu api yang menyebabkan berlaku pergaduhan sesama umat Islam, memfitnah, menyebar khabar angin dan memberi serta meminta pertolongan dari musuh Islam. Kemunculan orang munafiq hanya terdapat di dalam surah madaniyyah yang menunjukkan munculnya mereka selepas Islam itu kuat. Mereka cemburu melihat kekuatan Islam dibawah pimpinan nabi Muhammad SAW.

Beberapa ayat di dalam surah Muhammad menjelaskan penawar bagi penyakit nifaq dan menjelaskan siapakah yang bergelar munafiq dan memberi amaran kepada kaum muslimin tentang tipu daya mereka dan khabar angin yang diada-adakan oleh mereka :

i. Menimbulkan keraguan terhadap al-Quran dan menyangka tidak memahami teks al-Quran tersebut : 
 
Yang bermaksud: Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu Wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisiMu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): "Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?" (Muhammad 47:16)


ii. Pengenalan kepada umat Islam tentang punca seseorang itu menjadi munafiq kerana mereka terlalu mengikut hawa nafsu yang menyebabkan hati mereka telah dikunci. Allah SWT berfirman :

Maksudnya : ….Mereka (orang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang Yang menurut hawa nafsunya. (Muhammad 47:16) 

iii. Beberapa ayat membongkar sifat orang munafiq yang mempunyai qalb (jantung) yang sakit, dan menggambarkan ketakutan mereka ketika Allah SWT mewajibkan perang menentang orang kafir. Allah SWT berfirman :  

Maksudnya : …..Maka apabila diturunkan satu surah (dari Al-Quran) yang tegas keterangannya dan tersebut padanya hukum-hukum yang mewajibkan perang jihad (menentang pencerobohan musuh), sudah tentu engkau akan melihat orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hatinya memandang kepadamu Dengan terbeliak matanya kerana gerun takut menghadapi mati.) (Muhammad 47:20)  

iv. Al-Quran menggesa kepada umat Islam agar tidak mendengar kata-kata orang munafiq kerana mereka pengikut syaitan dan mereka kembali kepada kejahilan selepas jelas bagi mereka keimanan. Allah SWT berfirman :  

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dikemukakan kepadaNya), syaitanlah yang memperdayakan mereka (berlaku demikian), serta memanjangkan angan-angan mereka. (Muhammad 47:25) 

v. Surah Muhammad juga mendedahkan sifat orang munafiq kepada kaum muslimin supaya mereka dapat mengecam orang munafiq dan memberi amaran kepada mereka. Allah SWT berfirman : 

Maksusdnya : Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya. dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan. (Muhammad 47:30)  

10.4 ORANG KAFIR DAN SIFAT-SIFAT MEREKA

Surah Muhammad juga menceritakan di antara musuh umat Islam ialah kaum kafir. Memperkenalkan sifat-sifat orang kafir kepada umat Islam dan memberi galakan untuk memerangi mereka. Mereka yang menjadi musuh Islam yang nyata tidak seperti orang munafiq yang menjadi musuh di dalam selimut. Beberapa sifat orsang kafir di sebut di dalam surah Muhammad, antaranya :

i. Allah tidak menerima amalan orang kafir

Diantara syarat untuk amalan diterima, seseorang itu wajib beriman kepada ajaran nabi Muhammad SAW, sesiapa yang menentangan jalan untuk menuju kebenaran maka Allah SWT tidak menerima amalan mereka. Allah SWT berfirman :

  
Maksudnya : Orang-orang yang kafir serta menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, Allah sia-siakan Segala amal mereka. (Muhammad 47:1)

ii. Orang kafir benci apa yang diwahyukan Allah kepada nabi Muhammad SAW

Diantara punca amalan orang kafir tidak diterima Allah SWT kerana mereka tidak menyukai apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada nabiNya SAW. Allah SWT berfirman :

Maksudnya : Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka.(Muhammad 47:9)  

iii. Perumpamaan orang kafir seperti binatang ternakan

Allah SWT menggambarkan orang kafir seperti binatang ternakan kerana mereka hidup didunia tanpa tujuan yang jelas. Di situ lahirlah perwatakan seperti binatang iaitu hidup hanyalah untuk rehat, kerja, makan dan seks tidak berubah seperti binatang yang tiada tujuan hidup. Umat Islam mempunyai tujuan yang jelas di dalam hidup mereka iaitu menyembah Allah SWT di setiap genap kehidupan. Allah berfirman tentang orang kafir :  

Maksudnya : … orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternakan makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. (Muhammad 47:12)  

11. KESIMPULAN

Secara umumnya surah Muhammad menceritakan tentang tiga golongan iaitu golongan kafir, golongan munafiq dan golongan mukmin. Permulaan bicara tentang golongan kafir yang menentang umat islam secara zahir. Setelah penghijrahan kaum muslimin ke Madinah, umat Islam bertambah kuat dengan bantuan oleh dua kaum al-Aus dan al-Khazraj.  Disitu lahirlah golongan munafiq yang berpura-pura beriman kepada Allah, walhal mereka cemburu akan kekuatan Islam serta mencari peluang disebalik kelemahan umat Islam. Surah Muhammad menceritakan sifat orang kafir dan munafiq agar dapat dihindari oleh orang Islam. Al-Quran suci dari sebarang tafsiran yang tidak benar. 





12. RUJUKAN

Tafsir al-Qurtubi, Al-Qurtubi. terjemahan Akhmad Khatib, 2009, Jakarta: Pustaka Azzam
Tafsir Fi Zilal al-Quran, Sayyid Qutb. 2000, Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Nahw Tafsir Maudhuci li-suar al-Quran al-Karim, Muhammad al-Ghazali. 1995, Kaherah: Dar al-Shuruq
Tafsir al-Azhar, Abdul Malik Abdul Karim Amrullah. 1980, Surabaya: Yayasan Latimojong.
Al-Tafsir al-Maudhuci Baina al-Nazhriyyah wa al-Taqbiq, Solah cAbd al-Fattah al-Khalidi. 2008, Jordan: Dar al-Nafa’is
Nuzhum al-Durar Fi Tanasub al-Ayat Wa al-Suar, Ibrahim Bin cUmar. 1971, India: Mathbach Da’irah al-Macarif al-cuthmaniyyah.
Lubab al-Nuqul Fi Asbab al-Nuzul, Jalal al-Din Abi Abd al-Rahman Al-Suyuti. 2002,  Beirut: Muassasah al-Kutub al-Tsaqafiyyah
Tafsir al-Qur’an al-cazim, Ismacil Bin Katsir. 2002, Kaherah: Dar al-Fajr Li al-Turath