METOD KAJIAN TAFSIR ALI ABDUL RAZIQ DALAM KITAB AL-ISLAM WA USUL AL-HUKM
Disediakan oleh:
Amar Abd Rahman
Mohd Aniq Mustah
Muhammad Umar Mukhtar bin Shafie
ABSTRAK
Dewasa ini, terlalu banyak perkara yang
menggugat keharmonian dan kestabilan agama Islam dan masyarakat muslim itu
sendiri. Berbagai-bagai pertubuhan atau persatuan yang bernaung atas nama Islam
dan sebagainya muncul dengan begitu banyak dan mempunyai pemahaman dan
pemikiran yang berbeza-beza. Apabila ini berlaku, maka umat Islam akan terdedah
kepada bahaya pemikiran dan pemahaman salah yang mana akhirnya akan
menjerumuskan mereka ke dalam golongan berfahaman salah tersebut. Kertas ini akan
membahaskan salah satu dari golongan yang mempunyai pemahaman dan pemikiran
yang salah berkaitan dengan buku karangan cAli
cAbdul Raziq yang berjudul “al-Islam
Wa Usul
al-Hukm”. Maka, penulisan ini adalah bertujuan untuk mengkaji dan menyingkap
tentang sejauh manakah relevannya isu-isu yang dibangkitkan tentang Islam dan
dasar pemerintahan. Keterangan-keterangan dan fakta-fakta dalam penulisan ini
memaparkan sumber-sumber yang diperolehi melalui penyelidikan perpustakaan.
Secara keseluruhannya, segala isu-isu yang dikemukakan itu amatlah tidak
relevan serta bercanggah dengan hakikat dan kebenaran al-Quran dan agama Islam.
1.
PENGENALAN
Fitrah
manusia suka kepada kebebasan. Tidak mahu terikat dalam aspek kehidupan, malah
dalam beragama pun mereka mahu kebebasan. Oleh itu, mereka mencipta istilah dan
ideologi yang sesuai dengan kehendak itu, seperti ‘Islam liberal.’ Mereka yang
mendukung falsafah ini mengatakan Islam secara liberal lebih sesuai diamalkan
dalam masyarakat majmuk, kononnya lebih praktikal dan diterima akal.
Umat Islam
yang progresif telah menghasilkan banyak aliran pemikiran yang liberal mengenai
Islam. Aliran pemikiran ini adalah hasil cetusan perkembangan globalisasi
semasa, berhadapan dengan dakyah dan tomahan pihak barat terhadap Islam.
Sebelum ini Islam Fundamental diterima umum sebagai Islam yang sesuai dengan
situasi dunia hari ini. Ia amat bertentangan dengan Islam. Semua aliran ini
adalah hasil analisis pemikir semata-mata untuk melabel hala tuju serta
kecenderungan gerakan dan perkembangan Islam di dunia pada hari ini di mana
Islam menjadi bahan ejekan, dilabel sebagai agama pengganas, kemiskinan dan
sebagainya.
Fenomena
pemikiran Islam yang liberal sebenarnya tidak begitu jelas sebagai satu aliran
pemikiran yang sekata. Muslim yang memanggil diri mereka sebagai progresif
boleh dikatakan mengamalkan Islam yang liberal kerana mereka telah mencetuskan
beberapa pemikiran liberal dalam Islam. Akan tetapi sesetengah ahli akademik
berpendapat Islam progresif dan Islam liberal adalah dua aliran yang berbeza.
Aliran-aliran ini berkongsi satu falsafah yang bergantung kepada ijtihad.
Islam Liberal menyerang ajaran Islam dari sudut
akidah dengan penyebaran
fahaman pluralisme, dari sudut syariah dengan perubahan metodologi ijtihad dan dari sudut wahyu
dengan melakukan kritikan
terhadap al-Quran itu sendiri. Sesetengah Muslim liberal lebih suka
kepada idea demokrasi sekular moden dan pemisahan antara negara dan agama sekaligus
bertentangan dengan ideologi Islam bahawa Islam dan politik tidak boleh
dipisahkan. Sementara fakta sejarah kehidupan Rasulullah SAW mengatakan bahawa
sesungguhnya politik adalah sebahagian yang tidak terpisah dari agama bahkan
politik adalah bahagian yang dominan. (Dr. Fahmi al-Syannawi: hlm 99 ) Penyelewengan
ini dapat dilihat melalui karya-karya yang telah dihasilkan oleh tokoh-tokoh Islam
liberal tersebut.
Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka
sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan
mengkaji semula agama, mentafsir semula Al-Quran, menilai semula syariat dan
hukum-hukum fiqh. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama
termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulama, termasuk tafsiran daripada
Rasulullah s.a.w dan sahabat serta ulama mujtahid. Bagi mereka agama hendaklah disesuaikan kepada realiti
semasa, sekalipun terpaksa
menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan
nas-nas Syarak secara putus (qatcie). Jika terdapat hukum
yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia, dan tamadun global, maka
hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.
Oleh itu, Islam
Liberal harus ditangani dengan cara yang terbaik agar ia tidak merosakkan minda
masyarakat Islam dengan fikiran-fikiran yang bercanggah dengan dalil-dalil dan
nas yang telah membentuk pemikiran Islam sejak dari zaman Rasulullah SAW.
2. BIODATA
PENULIS
2.1 BIOGRAFI
CALI CABDUL RAZIQ
2.1.1 Latar Belakang
Kelahiran
cAli
cAbdul Raziq merupakan salah seorang tokoh Islam
Liberal yang berasal dari Mesir. Beliau dilahirkan pada tahun 1888 Masihi
bersamaan 1305 Hijri di Kampung Abu Jaraj di Wilayah al-Minya, Mesir.
2.1.2 Latar Belakang Pendidikan
Selepas tamat menghafal al-Quran, beliau
kemudian menyambung pengajian di Universiti al-Azhar di Kaherah. Diantara
guru-guru beliau adalah Syekh Ahmad Abu Khutwah (meninggal 1906 M) dan Syekh Abu cUlyan.
Pada tahun 1008 Masehi, Universiti Misriyyah telah ditubuhkan untuk mengajar sukatan
ketamadunan barat. Beliau kemudiannya memasuki universiti tersebut dan
menggabungkan pengajian di Universiti Misriyyah dan juga Universiti al-Azhar.
Pada tahun 1912 M, beliau menamatkan
pengajiannya di Universiti al-Azhar dan dianugerahkan sijil diperingkat
antarabangsa. Kemudian beliau menyambung pengajiannya di Universiti Oxford,
England dalam bidang ekonomi di bawah tanggungan keluarganya sendiri. Akan
tetapi beliau pulang semula ke Mesir pada tahun 1915 M disebabkan Perang Dunia
Pertama.
2.1.3 Latar Belakang Kerjaya
Pada tahun 1915 M, beliau dilantik sebagai
Hakim di mahkamah syariah sehingga pada tahun 1925 M, beliau menerbit sebuah buku kontroversi yang
bertajuk (Al-Islam
Wa Usul
al-Hukm) kemudiannya dibuang kerja pada tarikh 17
September 1925 M atas tindakan disiplin dari arahan Majlis Ulama Tertinggi.
Ketika itu beliau bertugas di Mahkamah Syariah Mansurah. Beliau dituduh sebagai
seorang yang membawa gerakan politik baru.
Selepas dibuang, beliau kemudiannya bermusafir ke Kota London untuk
menyambung pengajiannya dan juga ke Utara Afrika dengan tujuan bersiar-siar dan
disitulah beliau mengambil kesempatan untuk menulis beberapa penulisan yang
kemudiannya diterbitkan didalam Majalah Siyasah dibawah terbitan Parti al-Ahrar al-Dusturiyyun.
Pada tahun 1945 M, selepas perlantikan abangnya As-Syekh Mustafa cAbdul Raziq Basha (meninggal 1946M) beliau
kemudian kembali ke persidangan ulama’. Pada tahun 1948 M, beliau kemudian dilantik didalam satu
jawatan kementerian iaitu menteri kebajikan sehingga pada tarikh 25 Julai 1949
yang diketuai oleh Ibrahim cAbdul Hadi Basha (meninggal 1981 M). cAli
cAbdul Raziq juga mengganggotai dewan rakyat, Majlis Syura dan juga anggota
Akademi Bahasa Arab. Beliau meninggal pada tahun 1386 Hijri bersamaan dengan
1966 Masehi.
2.1.4 Karya-Karya cAli
cAbdul Raziq
Diantara buku-buku beliau adalah :
1. Al-Islam
Wa Usul
al-Hukm
2. Al-Ijmac Fi
al-Syaricah al-Islamiyyah
3. Amali cAli
cAbdul Raziq
3. Metod cAli
cAbdul Raziq
3.1 Hermeneutik
3.1.1 Pengertian
Hermeneutik
Secara
etimologis, Hermeneutik berasal dari bahasa Yunani “hermeneuein”, yang bererti
mengungkapkan pemikiran seseorang dalam kata-kata. Ia juga bererti “menterjemahkan”
dan juga bertindak sebagai “penafsir”. Dan menurut Mudjia, Hermeneutik berupaya
menukar sesuatu dari yang gelap kepada
yang terang. Hermeneutik juga sering didefinisikan sebagai:
- Teori penafsiran Kitab Bible (theory of biblical exegesis).
- Hermeneutik sebagai metodologi filologi umum (general philological methodology).
- Hermeneutik sebagai ilmu tentang semua pemahaman bahasa (science of all linguistic understanding).
- Hermeneutik sebagai landasan metodologi dari ilmu-ilmu kemanusiaan (methodological foundation of Geisteswissenschaften).
- Hermeneutik sebagai pemahaman kewujudan dan fenomenologi kewujudan (phenomenology of existence dan of existential understanding).
- Hermeneutik sebagai sistem penafsiran (system of interpretation). Hermeneutik sebagai sistem penafsiran dapat diterapkan, baik secara kolektif mahupun secara individu, untuk memahami makna yang terkandung dalam mitos-mitos ataupun simbol-simbol.
Dari
keenam pengertian di atas, yang paling mudah difahami oleh orang ramai, adalah hermeneutik
sebagai prinsip penafsiran kitab Bible (principles of biblical interpretation).
Ada kaedah yang bersifat historis terhadap pemahaman ini, kerena kata
hermeneutik pada era moden memang digunakan untuk mengisi keperluan sebagai panduan
dalam penafsiran Kitab Bible. Akan tetapi, hermeneutik adalah metod dan
bukanlah penafsiran. Perbezaan diantara penafsiran ta'wil (exegesis)
dan aturan-aturan, metod-metod, dan teori yang mengaturnya (hermeneutika) sudah
diketahui sejak dahulu lagi, sama ada mengikut pendapat teologis ataupun pendapat
orang awam (non theologists).
3.2 Hermeneutik cAli
cAbdul Raziq
Pendekatan cAli
cAbdul Raziq secara dasarnya terbahagi kepada tiga:
ii.
Metod Sejarah Empirik
iii.
Metod Silogisme
3.2.1 Metod Linguistik
Makna Linguistik : Hermeneutik dan Linguistik
Linguistik adalah salah satu disiplin ilmu
manusia yang tertua. Hal ini kerana bahasa itu merupakan rukun yang penting dan
perkara asas dalam kehadiran konsep dan transaksi pemikiran serta komunikasi
sosial. Berdasarkan realiti ini, bahasa sentiasa menjadi subjek pembahasan
teori para pemikir. Filologi, peraturan-peraturan bahasa, makna-makna dan
estetika bahasa merupakan kajian-kajian klasik bahasa. Dalam era moden,
terdapat kecenderungan baru di kawasan kajian bahasa yang berpunca pada
kehadiran falsafah analisis bahasa yang memandang segala jenis kajian falsafah
itu mesti bermula dari pemerhatian linguistik dan fungsinya.
Pada sudut lain, hermeneutik juga berurusan
dengan teks-teks, sementara bahasa merupakan pembentuk teks. Dengan demikian,
hermeneutik juga memandang penting masalah-masalah linguistik. Ideologi ini
juga digunakan dalam hermeneutik klasik dan hermeneutik moden, yang mana ia sangat
ditekankan pada hermeneutik Gadamer. Menurut Gadamer, bahasa itu bukan hanya
sebagai media penyaluran pemahaman, bahkan ia juga merupakan pembentuk suatu
pemahaman. Dengan ibarat lain, hakikat dan asas suatu pemahaman itu adalah
bahasa. Berdasarkan ideologi ini, ilmu hermeneutik mempunyai hubungan rapat
dengan linguistik beserta cabang-cabang dan kaedah-kaedahnya yang pelbagai.
Namun setiap daripada ilmu tersebut merupakan disiplin-disiplin ilmu tertentu
yang mempunyai subjek, bidang, kaedah, dan tujuan-tujuan yang khusus.
Pada hakikatnya, boleh dikatakan bahawa ilmu
hermeneutik itu mengambil manfaat dari pembahasan linguistik. Begitu juga
dengan linguistik, khususnya kajian yang merumuskan fungsi, kaedah, dan
kerangka bahasa, sangatlah berkaitan dengan ilmu hermeneutik, khususnya
penerapan undang-undang dan kaedah bahasa. Kenyataan ini adalah seperti
hubungan hermeneutik dengan ilmu logik, iaitu hermeneutik tidak mungkin terpisah
dari penggunaan metode-metode umum logik dan berfikir.
3.2.2 Metod Sejarah
Empirik
Kritik sejarah adalah
sebuah metod tafsir yang mempertimbangkan faktor sejarah dari suatu teks untuk
dapat menggali maknanya secara lebih mendalam.
Dalam ilmu sejarah, kritik
dilakukan untuk mencari kebenaran suatu sumber sejarah. Terdapat dua jenis
kritik sejarah, yaitu:
- Kritik internal (uji kredibiliti)
Merupakan kritik yang membina dari dalam sejarah, yang didasarkan pada erti sebenarnya berdasarkan suatu kesaksian.
- Kritik eksternal
Merupakan kritik yang membangun dari luar
sejarah, yang dilakukan dengan mencari kebenaran sumber sejarah melalui beberapa kajian terhadap berbagai aspek di luar sumber sejarah.
Kaedah empirikal secara umumnya bermakna pendekatan menggunakan
koleksi data asas teori atau memperolehi kesimpulan dalam bidang sains. Ia
adalah sebahagian daripada kaedah saintifik, tetapi sering tersilap dianggap
sebagai sinonim dengan kaedah eksperimen. Kaedah empirikal tidak mendadak dan
sering berbeza dengan ketepatan kaedah eksperimen, di mana data diperolehi
daripada manipulasi sistematik pembolehubah dalam eksperimen. Beberapa
kesukaran dalam membincangkan kaedah empirikal adalah dari kekaburan makna akar
itu sendiri: (empiris).
Kaedah empirikal mempunyai ciri-ciri berikut :
(a) Ia adalah
pragmatik dan pada dasarnya ateis
(b)Pemerhatian sahaja adalah sumber
pengetahuan yang sah; sumber pengetahuan yang lain seperti istinbat, tarikh dan
naqal ditolak.
Penggunaan metodologi empirikal membawa kepada masalah
berikut:
(a) Berat
sebelah kerana andaian terdahulu
(b) Batasan
pemerhatian deria manusia
(c) Batasan
akal manusia
(d) Kekurangan
paradigma yang mengintegrasikan
3.2.3 Metod Silogisme
Silogisme adalah cara berfikir
logik, yang dapat digambarkan dengan berbagai cara. Definisi yang diberikan
Aristotle sendiri adalah sebagai berikut: "Satu perbincangan di mana
berbagai hal dinyatakan, hal-hal lain yang tidak dinyatakan harus mengikuti apa
yang dinyatakan karana hal-hal itu dinyatakan demikan." (http://pesantrenbudaya.com/?id=312)
4.0 Isu Penafsiran Dan Sanggahan
4.1 Percanggahan dalam penilaian
terhadap sistem pemerintahan di zaman Rasul
cAli
cAbdul Raziq sering terjebak dalam percanggahan sewaktu beliau cuba menilai
sifat beberapa zaman dalam sejarah Islam serta sewaktu beliau cuba merumuskan
sifat pengalaman Islam dalam politik dan sistem pemerintahan Islam pada zaman
berkenaan.
Gaya persembahan yang amat ringkas
yang dipilih cAli
cAbdul Raziq dalam penulisannya banyak membantu menyembunyikan percanggahan
yang ada. Bagaimanapun pemilihan kata yang teliti oleh beliau untuk
menyampaikan maksudnya membantu pembaca yang peka menemui percanggahan
berkenaan.
Sebagai contoh, beliau sewaktu
membuat penilaian terhadap sifat sistem yang ditegakkan Islam pada zaman
Rasulullah SAW dan kepimpinannya di Semenanjung Arab, beliau menafikan semua
itu adalah eksperimen politik atau ada apa-apa kaitan dengan soal pemerintahan
dan kerajaan. Beliau juga menafikan sistem pemerintahan baginda sepenuhnya
bersifat keagamaan atau spiritual, tanpa unsur-unsur pemerintahan atau
kerajaan. Sebagai contoh, beliau menyebut:
“Kesatuan yang
tersebut di zaman Nabi Muhammad SAW bukan kesatuan politik baik dari sudut mana
pun. Tidak terangkum di dalamnya pengertian negara atau kerajaan. Bahkan, ia
adalah kesatuan yang diasaskan atas dasar agama - kesatuan iman dan aliran
keagamaan, bukan kesatuan negara dan aliran kerajaan.” (cAli
cAbdul Raziq : hlm 100-101 )
Tetapi di tempat
lain beliau membuat penilaian yang bercanggahan. Terdapat banyak tempat beliau menyebut bahawa
kekuasaan Rasul mengatasi kekuasaan raja dan penguasa, meliputi kehidupan
rohani – yang merupakan bidang kerasulan – dan jasmani – bidang kerajaan.
Maksudnya, politik dan kerajaan dalam pengertian sivil termasuk di dalam sifat
sistem yang dibangunkan Rasulullah SAW :
Kedudukan Risalah
Ilahiah memberikan pemikulnya kekuasaan yang lebih luas berbanding apa yang ada
di antara pemerintah dan rakyat, bahkan lebih luas dari kekuasaan yang ada di
antara bapa dan anak-anaknya. Kadang-kadang seorang Rasul mungkin berpolitik di
dalam masyarakat sama seperti seorang raja berpolitik. Akan tetapi, bagi Rasul
tugas yang tidak dikongsi dengan sesiapa. Antara tugas seorang rasul juga untuk
berbicara terus dengan ruh manusia.(
cAli cAbdul Raziq : hlm 73) Bagi rasul tugas yang zahir untuk memimpin orang awam.
Baginya juga tugas yang batin dalam mentadbir hubungan yang mengaitkan antara
rakan-rakan kongsi.( cAli
cAbdul Raziq : hlm 73-74) Baginya kepimpinan zahir dan batin, mentadbir urusan
jasmani dan rohani, serta hubungan kita sesama makhluk di bumi dan juga
Pencipta di langit.Baginya siasah dunia dan akhirat.(
cAli cAbdul Raziq
: hlm 74) Kerana itu, kekuasaan Nabi
Muhammad adalah kekuasaan umum, bersesuaian dengan keperluan risalahnya.
Perintah baginda kepada Muslimin ditaati, pemerintahannya menyeluruh, tidak ada suatu pun yang berkaitan kuasa
pemerintahan kecuali semuanya dirangkumi kekuasaan nabi. Dan tidak ada suatu
bentuk jawatan kepimpinan dan kesultanan pun yang tidak tunduk, sebagai orang
yang beriman, di bawah Rasulullah SAW.(
cAli cAbdul Raziq : hlm 75)
Di sini kita lihat
beliau ada waktunya menafikan kepimpinan Rasulullah SAW mengandungi sebarang
elemen politik, dan pada waktu yang lain menyatakan bahawa sifatnya lebih dari
politik. Terdapat beberapa tempat cAli
cAbdul Raziq menafikan rasul bersifat raja dan menafikan yang sistem
pentadbiran mengandungi sifat-sifat kerajaan dan negara, tanpa membezakan
antara politik dengan kerajaan serta antara sistem beraja dengan sifat raja
serta bidang kuasanya. Orang arab dan bukan arab mungkin mengenal beberapa ciri
pentadbiran dan politik, tetapi tidak semestinya ciri-ciri ini tertakluk di
bawah system beraja dan ciri-ciri pemerintahan raja yang berkuasa penuh.
Kami yakin bahawa
penilaian cAli
cAbdul Raziq terhadap pentadbiran Rasulullah SAW adalah bahagian paling lemah dalam buku ini.
Penyatuan kekuasaan politik dan kekuasaan agama di zaman Rasul hampir mencapai
status perkara baru, kerana beberapa sebab dan yang paling utama ialah kerana
eksperimen ini melibatkan insan yang memegang kuasa politik dan pada masa yang
sama menerima wahyu dari langit.
Kemungkinan yang
menyebabkan cAli
cAbdul Raziq terjatuh ke dalam percanggahan ini ialah kerana beliau telah siap
untuk menafikan bahawa konsep “kerajaan agama” wujud di dalam Islam, terutama
selepas zaman Rasulullah SAW , kerana kesatuan kepimpinan dengan penerima wahyu
telah berakhir dengan wafatnya baginda. Juga kerana agama Islam tidak menerima
kewujudan pihak berkuasa agama atau pengantara antara ahli bumi dengan langit.
Maka sifat sivil kekuasaan dan kerajaan di dalam Islam sejak wafatnya
Rasulullah SAW sepenuhnya adalah logik
dan sesuai dengan sifat agama ini. Kerana sifat “sivil” ini tidak terputus
terus hubungannya dengan prinsip-prinsip agama maka hubungan antara “agama” dan
“politik” adalah hubungan “membezakan” dan bukannya “menceraikan dan
memisahkan”, dan bukan juga hubungan “bersatu, penerapan dan campur aduk”.
Keengganan cAli
cAbdul Raziq untuk mengakui hakikat ini, dan kegagalan beliau untuk membuat
rumusan sebegini, menandakan penolakannya terhadap manhaj ilmiah dalam
penyelidikan, terutama bagi sebuah kajian sejarah – manhaj yang memelihara agar
diakui kaitan di antara fenomena, satu hubungan yang mengikat pembangunan
pemikiran, rohani dan maknawi dalam sesebuah masyarakat dengan asas
kebendaannya, yang kesemuanya tidak harus dilihat sepenuhnya terpisah dan
tercerai yang satu dari yang lain.
Metod:
Metod yang digunakan oleh cAli cAbdul
Raziq di sini adalah
metod sejarah empirikal dan silogisme. 4.2 Percanggahan dalam penilaian terhadap zaman selepas Rasulullah SAW
Oleh kerana cAli
cAbdul Raziq tidak berpegang dengan manhaj pemikiran yang melihat ada kaitan
antara agama dengan politik, antara al-Quran dengan kerajaan – tanpa perlu
mengatakan bahawa di dalam agama terdapat segalanya tentang politik, kerajaan
dan negara – maka keadaan ini jatuh ke lubang percanggahan yang seterusnya.
Sewaktu membicarakan pengalaman politik Arab Muslim selepas kewafatan Rasulullah
SAW, beliau ada waktunya bercakap tentang kerajaan Abu Bakar tanpa menafikan
hubungannya dengan agama: “Abu Bakar menuruti
jejak langkah Rasulullah SAW di
dalam perkara yang khusus bagi dirinya dan pada perkara yang umum. Hal itu
pasti memberi kesan terhadap cara pemerintahan Abu Bakar. Beliau sedaya upaya
berpegang dengan agama dan manhaj Rasulullah SAW dalam tindakannya. Maka tidak hairanlah jika
Abu Bakar memberi penekanan terhadap tanda-tanda agama di dalam memerintah
negara baru yang beliau merupakan rajanya yang pertama. (cAli
cAbdul Raziq : hlm 121). Kemudian kita melihat pula cAli
cAbdul Raziq menyanggah pula pandangannya sendiri sewaktu menafikan adanya
kaitan antara kepimpinan Abu Bakar dengan agama. Kepimpinan itu disifatkannya
sebagai bukan kepimpinan agama dan dari jenis sekular. (cAli
cAbdul Raziq : hlm 108)
Kesalahan di sini
disebabkan beliau tidak berpegang dengan manhaj berfikir yang melihat disana
ada hubungan yang bersifat “penerapan”, manhaj yang melihat ada hubungan antara
agama dengan hukum sivil yang diakui Islam dan menyeru manusia untuk menegakkan
dan mengembangkan hukum sivil ini demi kepentingan mereka, dengan syarat ia
sesuai dengan prinsip-prinsip umum dan dasar di dalam Islam seperti yang
terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Metod:
Metod yang digunakan oleh cAli
cAbdul Raziq di sini
adalah metod sejarah empirikal.
4.3 Kesalahan di dalam pembuktian
Antara kelemahan utama cAli
cAbdul Raziq ialah bahawa beliau sering menggunakan bukti-bukti yang tidak
tepat. Sebagai contoh:
Percubaan cAli
cAbdul Raziq untuk menafikan sifat politik dan kerajaan bagi pengalaman Rasulullah
SAW, berdasarkan hujah menyampaikan wahyu langit, bukan mentadbir, memerintah
dan melaksanakan (hukum), dengan menyebut bahawa Rasul bukan “jabbãran” (pemaksa),
“hafizan” (pemelihara/penjaga), ‘’wakilan’’ (wakil), atau ‘’musaitir’’
(pengawal). Beliau mengatakan, ‘’al-Quran’’
kelihatan menyokong pendapat bahawa Rasulullah SAW tidak ada kaitan dalam
kerajaan politik. Ayat-ayat yang membantu menunjukkan tugasan-tugasan dari
langit tidak pernah melampaui batas penyampaian risalah dan sunyi dari makna kesultanan.’’
(cAli
cAbdul Raziq : hlm 78)
Ayat-ayat berkenaan
tidak membuktikan yang sistem pemerintahan yang ditegakkan Islam pada zaman
rasul itu bukan sistem politik bagi sebuah negara atau kerajaan, bersesuaian
dengan ukuran dan suasana zaman itu yang amat sederhana. Firman Allah yang beliau
gunakan,
قوله تعالى : نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ وَمَا أَنْتَ عَلَيْهِمْ بِجَبَّارٍ فَذَكِّرْ بِالْقُرْآنِ مَنْ يَخَافُ وَعِيدِ (سورة ق آية 45)
Maksudnya: Kami lebih mengetahui akan apa yang mereka katakan (dari
berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad), dan engkau bukanlah seorang yang
berkuasa memaksakan mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu berilah
peringatan dengan al-Quran ini kepada orang yang takut akan janji azabku.)
Surah Qaf 50:45)
Sebenarnya bererti,
bahawa engkau keatas mereka bukan “pengawal yang memaksa mereka beriman, atau
berbuat terhadap mereka sesuka hatimu, sebaliknya engkau adalah pendakwah.” (
Tafsir Baidowi : hlm 145 ) Firman ini
berkenaan dakwah dalam hal akidah, bukan berkaitan sisi politik atau sivil sistem
kehidupan manusia masyarakat Islam zaman itu. Penafian sifat “al-Jabbãr”
bagi diri Rasul tidak memberi makna menafikan sifatnya sebagai pemerintah dan
pendiri negara. Al-Jabbãr bagi orang Arab bermaksud ‘’ raja yang memaksa
“. Menafikan sifat ini pada rasul atau pada orang lain, tidak bererti menafikan
keperluan menjalankan kerja politik dan pemerintahan kerana politik tidak
bererti memaksa dan pemerintah tidak semestinya bermaksud pemaksa. ( Asas
Balaghah li Zamakhsari: hlm 120 )
Begitu juga halnya
bagi firman yang menafikan sifat “Hafiz” (penjaga) buat rasul. Firman Allah
menerusi lisan rasul, ditujukan kepada manusia,
قال
تعالى : بَقِيَّتُ اللَّهِ
خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ ۚ وَمَا أَنَا عَلَيْكُمْ بِحَفِيظٍ ﴿سورة
هود آية 86﴾
Maksudnya: Sisa (keuntungan) dari Allah adalah lebih baik bagimu
jika kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah seorang penjaga atas
dirimu. (Surah Hud 11:86)
Ia membawa maksud
bukanlah rasul itu sebgai penjaga dari segala keburukan atau tugasnya bukanlah
menjaga amalan-amalan manusia dimana dia menjaga mereka daripadanya dan adapun
rasul itu adalah pemberi nasihat dan penyampai.‘’ (Tafsir al-Baidawi :
hlm 144-145)
قال تعالى
: مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ تَوَلَّى فَمَا
أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا (سورة النساء آية 80)
Maksudnya: Siapa
yang taat pada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah, dan
sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita, wahai
Muhammad), kerana kami tidak mengutuskan engkau untuk menjadi pengawal (yang
memelihara mereka dari melakukan kesalahan). (Surah al-Nisa' 4:80)
Maksud pengawal
di sini adalah untuk menjaga amalan mereka dan menghisab amalan ke atas mereka,
sesungguhnya tidaklah bagi rasul itu kecuali menyampaikan dan bagi Allah adalah
penghisab amalan. ( Tafsir al-Baidawi :
hlm 86 ) Maksud keseluruhan ayat-ayat di
atas ialah rasul tidak memakai sifat-sifat Allah dan bukan menafikan sifat
baginda sebagai pemerintah, ahli politik atau negarawan.
Demikian juga
ayat-ayat lain yang menafikan rasul seorang “wakil” bagi manusia.
قال تعالى
: وَكَذَّبَ بِهِ قَوْمُكَ
وَهُوَ الْحَقُّ قُلْ لَسْتُ عَلَيْكُمْ بِوَكِيلٍ (سورة الأنعام آية 66)
Maksudnya: Dan
kaum engkau (wahai Muhammad) mendustakan (Al-Quran), padahal ia adalah benar.
Katakanlah: “Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu.” (Surah al-Ancam ayat 66)
Ayat ini bermaksud bahawa rasul itu
bukanlah sebagai penjaga yang diwakilkan untuk menjaga manusia iaitu melarang
mereka daripada menipu atau mengharuskannya, senugguhnya rasul itu hanyalah sebagai
pemberi amaran dan Allah sahajalah yang menjadi penjaga yang sebenarnya..” (
Tafsir al-Baidawi : hlm 167)
قال تعالى : رَبُّكُمْ
أَعْلَمُ بِكُمْ إِنْ يَشَأْ يَرْحَمْكُمْ أَوْ إِنْ يَشَأْ يُعَذِّبْكُمْ وَمَا
أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ وَكِيلًا (سورة الإسراء آية 54)
Maksudnya :
“Tuhanmu lebih mengetahui tentang kamu. Dia akan memberi rahmat kepadamu jika
dia menghendaki dan dia akan mengazabmu, jika dia menghendaki. Dan kami tidak
mengutus engkau untuk menjadi penjaga bagi mereka.” (Surah al-Isra' 17:54)
Ia pula
bermaksud, tuhan tidak mewakilkan kepada rasul urusan umat manusia dan memaksa mereka
untuk beriman.” ( Tafsir al-Baidawi :
hlm 258 )
قال تعالى :
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا (سورة الفرقان آية 43)
Maksudnya: Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa
nafsunya tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawal
yang menjaganya (supaya tidak sesat)?” (Surah al-Furqan Ayat 43).
Yang bermaksud,
“ penjaga yang dapat menahannya dari syirik dan maksiat.” ( Tafsir al-Baidawi :
hlm 125 )
قال تعالى : إِنَّا
أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ لِلنَّاسِ بِالْحَقِّ فَمَنِ اهْتَدَى
فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَمَا أَنْتَ عَلَيْهِمْ
بِوَكِيلٍ (سورة الزمر آية 41)
Maksudnya: Sesungguhnya
kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci al-Quran yang
menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia
seluruhnya. Oleh itu, sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya),
maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat (tidak
berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa keatas dirinya
sendiri, dan engkau (wahai Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil
yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka.” (Surah al-Zumar 39:41)
Ia bermaksud, “ Tidak diwakilkan kepada engkau untuk memaksakan
petunjuk kepada mereka,” ( Tafsir al-Baidawi :
hlm 44 ) sekali lagi, kesemua ayat ini menunjukkan Rasul tidak
bersifat dengan sifat Allah.
Ayat-ayat yang menafikan Rasul
sebagai “musaitir” bagi manusia, antaranya :
فَذَكِّرْ
إِنَّمَا أَنْتَ مُذَكِّرٌ . لَسْتَ عَلَيْهِمْ بِمُسَيْطِرٍ (سورة الغاشية آية
21-22) قال تعالى :
Maksudnya: Oleh
itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad kepada umat manusia, dan
janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau
hanyalah seorang rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa
memaksa mereka. (Surah al-Ghasyiah 88: 21 & 22)
Ayat ini bermaksud, Rasul bukan
berkuasa penuh terhadap mereka. ( Tafsir al-Baidawi :
hlm 308 ) Dan
tidak semestinya semua pemerintah mempunyai kuasa penuh terhadap rakatnya,
apatah lagi jika pemerintah itu adalah Rasulullah SAW.
Demikianlah kesilapan yang dibuat
oleh cAli
cAbdul Raziq dalam menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai bukti bagi
hujah-hujahnya.
Beliau tidak tepat dalam menggunakan
bukti-bukti sejarah dan petikan kata-kata orang tertentu. Beliau merumuskan
terdapat dua aliran pemikiran dalam Islam tentang sandaran kekuasaan khalifah,
iaitu, salah satunya, bahawa kekuasaan yang disandarkan kepada Allah, dengan
itu menjadikan penguasanya “payung Allah di negerinya dan bayangan Tuhan yang
meneduhi hamba-hamba-Nya.” Beliau menasabkan pemikiran ini ke kurun-kurun Islam
yang awal, berdalilkan syair Farazdaq ( 1143 H/732 M) tentang Hisham bin Malik
(125 H/ 742 M), syair Ibn Hani al-Andalusiy (363 H/973 M) untuk al-Muciz li Din al-Allah al-Fatimi (365H/975 M), syair Tarrih bin Ismacil al-Thaqafiy untuk al-Walid bin Yazid (126 H/743 M), pidato untuk al-Mansur al-cAbbas (159 H/775 M) dan seterusnya. (cAli
cAbdul Raziq: hlm 5-12) Kesemua bukti ini merupakan peristiwa-peristiwa sejarah
pada zaman di mana khilafah berubah dari sebuah sistem yang berasaskan syura, yang memelihara kaedah-kaedah syura Islami, menjadi sistem monarki yang amat terasing dari ajaran
Islam.
cAli
cAbdul Raziq juga mengambil peristiwa perjanjian baicah Yazid bin Mucawiyah (64 H/683 M), pembunuhan Hussein bin
Ali, serta perlantikan Faisal bin Hussein oleh Inggeris sebagai raja Iraq selepas Perang Dunia
Pertama, sebagai contoh baicah dan perlantikan imam dalam
Islam. Kesemua ini tidak lain merupakan peristiwa sejarah yang tidak ada kaitan
dengan khilafah, imamah dan Islam.
Selain ayat-ayat al-Quran dan
peristiwa sejarah, beliau juga menggunakan logik akal dan qiyas (perbandingan
atau silogisme). Beliau menganggap pembentukan kerajaan sebagai “urusan duniawi
yang Allah tinggalkan untuk ditentukan akal manusia. Allah berikan kebebasan
kepada manusia untuk mengurus kehidupan dunia mengikut apa yang ditunjukkan
oleh akal mereka, pengetahuan, kepentingan, kehendak-kehendak dan kecenderungan
mereka.”Kenyataan ini umumnya benar, cuma tidak benar pula apabila dikatakan
tidak ada kaitan antara akal dengan agama. cAli
cAbdul Raziq lupa bahawa, sebagai contoh, al-Muctazilah,
al-Zaydiyyah, dan beberapa aliran dalam Syicah Imamiah berpandangan bahawa mengenal Allah adalah wajib dan jalannya
ialah melalui akal,bukannya melalui risalah (yang dibawa nabi) atau melalui
kitab-kitab suci – kerana risalah dan kitab suci tidak mungkin diterima benar
melainkan setelah mengenal Allah. Justeru itu, tidak disebut bahawa orang yang mengenal
Allah – kerana satu-satu jalannya ialah akal – tidak ada kaitan dengan agama.
4.4 Pengabaian
isu-isu yang jelas dalam pemikiran Islam
Kitab al-Islam Wa Usul Al-Hukm memberikan
tanggapan negatif tentang khilafah dan imamah kepada pembaca. Beliau
mempersembahkan gambaran yang tidak jelas tentang institusi berkenaan. Kami
yakin, sebab bagi keadaan ini ialah cAli
cAbdul Raziq mencampur-adukkan antara “pemikiran Islam” dengan “sejarah Islam”
antara “teori” dan “perlaksanaan”.
Ini adalah kerana di dalam pemikiran
Islam terdapat isu-isu yang amat jelas tentang pemerintah, syarat-syaratnya
serta tentang imam dan sifat-sifatnya. Pemikir Islam masih berpegang dengan
kekuatan ini meskipun kekuasaan selalu jatuh ke tangan para pemerintah yang
menindas dalam rentasan sejarah kita yang panjang. Bahkan mereka menulis
tentang al-Imamah
dan dasar pemerintahan di zaman-zaman “penindasan” dan pemerintahan tanpa syura dan pilihan terus berpegang dengan prinsip syura, baicah dan kontrak dengan pemerintah. Mereka
melihat zaman pemerintahan para penindas ini sebagai tampoh yang terkecuali. Bahkan,
biasanya mereka yang berpegang dengan kewajipan mengadakan revolusi terhadap
pemerintah yang zalim berdiam diri dari menyatakan pandangan mereka kerana
bimbang berlaku krisis dan pertumpahan darah, atau timbul kemudaratan yang
berlebihan dari revolusi dan penentangan terhadap pemerintah-pemerintah
berkenaan.
Gambaran tentang pemerintahan
khalifah dan imam dengan kuasa mutlak yang disandarkan kepada Allah, tanpa
batasan, adalah gambaran yang terasing dari ruh Islam. Ia
memasuki hayat politik Islam yang amali sama ada melalui jalan pemikiran Syiah
Imamiah atau menerusi golongan Umawi yang sejak pemerintahan Mucawiyah
bin Abi
Sufyan
mengambil bentuk Kaisar Byzantine yang tradisinya berakar di Damsyik sejak
sebelum Islam.
Aliran pemikiran yang benar-benar
mewakili ruh Islam dan ajarannya
ialah aliran pemikiran Muctazilah serta golongan Khawarij yang
sependapat dengan mereka. Merekalah yang menetapkan cara “pemilihan, baicah,
dan kontrak” bagi memilih ketua bagi umat. Mereka juga yang berpandangan bahawa
kekuasaan imam bersandar kepada rakyat, bukan kuasa ghaib; bahawa pemecatan
imam adalah bidang kuasa rakyat; dan bahawa kedudukan politik tidak sepenuhnya
tercerai ikatannya dengan ajaran agama.
cAli
cAbdul Raziq bukan sekadar tidak membentangkan sudut pandang golongan tersebut
di atas, sewaktu beliau membincangkan topik berkaitan, bahkan menyelar mereka
sebagai ahl al-ahwa’. ( Dr Mamduh
Haqqi : hlm 66 )
Contoh lain bahawa cAli
cAbdul Raziq mengabaikan isu yang jelas dalam sejarah pemikiran Islam dapat
ditemui dalam perbincangan tentang kedudukan sains politik dalam tradisi
pemikiran Islam. Kata cAli
cAbdul Raziq, “Antara yang dapat anda perhatikan dengan jelas sejarah gerakan
keilmuan umat Islam, pencapaian umat dalam ilmu politik adalah yang paling
rendah berbanding ilmu lain. Kewujudan ilmu politik dalam khazanah keilmuan
Islam hampir tidak terasa. Tidak kita dapati pada mereka karangan atau
terjemahan berkenaan sains politik, atau kajian terhadap sistem pemerintahan dan
asas-asas politik, melainkan bilangan yang amat sedikit – tidak sebanding dengan pencapaian mereka dalam
bidang ilmu yang lain. (cAli
cAbdul Raziq: hlm 23 )
Syeikh Muhammad Khidr Hussein dalam
sanggahannya terhadap cAli
cAbdul Raziq menolak habis-habisan kenyataan di atas. Beliau menghitung
sebanyak 26 buah buku telah ditulis oleh orang Arab dan Muslim tentang politik
dan seninya, pemerintahan dan dasar-dasarnya.
Mereka yang meneliti senarai
manuskrip Arab dan Islam akan mendapati ia berkali ganda melebihi jumlah
tersebut. Itu belum dicampur dengan khazanah Arab dan Islam yang hilang, yang
tidak terhitung jumlahnya dan tidak terhisab nilainya, dikala Baghdad dibakar
oleh bangsa Tatar, dan khazanah Andalus yang tenggelam dalam lautan darah.
Sekiranya diambil kira semua ini, tahulah kita berapa banyaknya hasil karya
ilmiah dalam khazanah pemikiran Arab dan Muslim, dan akan ternyatalah tuduhan
yang dilemparkan cAli
cAbdul Raziq terhadap pemikir Arab dan Muslim itu tidak benar dan tidak tepat.
Metod: Metod yang digunakan oleh
cAli cAbdul Raziq
di sini adalah metod silogisme.
5.0
Kesimpulan
Pemikiran cAli
cAbdul Raziq tentang khilafah memandu pemikiran muslim
untuk mencari alternatif tentang masalah negara Islam. Sistem khilafah yang
dulu dianggap sebagai pegangan agama terbukti tidak ada keterangan secara jelas
dalam al-Quran dan Hadis. Boleh difahmi
secara jelas adalah bahawa dasar-dasar Islam perlu institusi yang
merealisasikannya. Institusi yang
terbaik dan efektif untuk merealisasikannya adalah negara dan pemerintahan.
Cara berfikir cAli
cAbdul Raziq yang ilmiah serta bersifat kajian sejarah
empirik dan rasional telah membuktikan sesuatu yang baru. Namun sayang, metod
pemikirannya itu telah menghasilkan sekularisme yang tidak disepakati oleh sebahagian
besar dunia Islam. Meskipun demikian, masalah terakhir ini kerap kali timbul
kerana ia bersangkut paut dengan pandangan hidup Muslim.
Dalam
sudut pandang falsafah, pemikiran ini tertumpu kepada manusia, dimana
manusialah yang seharusnya menentukan sistem untuk manusia yang lain sesuai
dengan keadaan semasa. Oleh itu, ideologi yang bukan berlandaskan panduan yang
sebenar boleh membawa kepada kesesatan yang berlaku tanpa disedari.
6. RUJUKAN
Al-Quran Dan Terjemahannya. T.Th. Kuala Lumpur: Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd
cAbdul Qadim Zallum. 2002, Sistem Pemerintahan Islam. Terj. Drs. M. Maghfur W. Jatim: Al-Izzah
Al-Baidowi. Abdullah Bin Umar Bin Muhammad Al-Syirozi. 1998. Susunan Semula Mohd Abdul Rahman
cAli cAbdul Raziq, 1966, al-Islam Wa Usul al-Hukm Bahas fi al-Khalifah Wa Al-Hukumah fi al-Islam. Kritikan. Dr Mamduh Haqqi. Beirut: Maktabah Al-Hayah
Al-Marcasyali. Anwar Tanzil Wa Asrar Al-Ta'wil. Beirut: Dar Ihya' Al-Thurath Al-cArabi
Khalid Jacafar. 2004. Islam Dan Dasar Pemerintahan. Kuala Lumpur: Polar Vista Sdn. Bhd
Dr. Fahmi Asy-Syannawi. 2006. Fiqih Politik Dinamika Politik Islam Sejak Masa Nabi Sampai Kini. Bandung: Cv Pustaka Setia.
Muhammad cImarah. 2006. Polemik Islam Dan Dasar
Pemerintahan Karya cAli
cAbdul Raziq. Kuala Lumpur: Polar
Vista Sdn. Bhd
Al-Zamakhsari. Mahmud Bin cUmar Bin
Ahmad. 1998. Asas al-Balaghah Li Zamakhsyari. Tahqiq. Muhammad Basil cUyun
Al-Sud, Beirut: Dar Al-Kutub Al-cIlmiyyah
Muhammad al-Khidr Husain, 1344 H, Naqd Kitab al-Islam Wa
Usul al-Hukm. Kaherah: Maktabah al- Salafiyyah
Nazhrah Sharciyyah Fi Fikr Munharif – Sulaiman Bin Soleh al-Khurasyi
http//ainuamri.wordpress.com/2007/11/16/kontroversi-ali-abd-al-raziq-masalah-negara-dalam-islam-i/
http//en.wikipedia.org/wiki/Empirical_method
http://omarkasule-01.tripod.com/id232.html,
http://pnesantrenbudaya.com/?id=312
http//munirdemak.wordpress.com/2012/09/19/tafsir-dan-hermeneutika/
(Nota: Ini adalah latihan ilmiah pengajian sarjana di Jabatan Qur'an dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebarang maklum balas, kritikan dan pandangan boleh dihantar ke emel: umarmy88@gmail.com)
No comments:
Post a Comment